Ambang Aidilfitri – Jom Kacau Dodol

Antara juadah tradisional kegemaran rakyat Malaysia semasa musim perayaan adalah wajik, lemang, ketupat, rendang dan juga dodol. Pelbagai versi masakan dodol telah diperkenalkan namun bahan asas seperti tepung beras, santan dan gula serta proses pembuatan dodol amat penting untuk menghasilan dodol yang sedap. Ahli Majlis Zon 9 dengan kerjasama MPKK Kg. Bukit Dukung telah menganjurkan satu program Jom Kacau Dodol serta majlis berbuka puasa bersama penduduk MPP Zon 9 pada 23 April 2022. Proses pembuatan dodol bermula pada jam 5.00 petang dan siap dimasak pada jam 3.00 pagi dan berjaya menghasilkan 20kg dodol bersamaan 200 bekas. 100 bekas diagihkan kepada penerima baucer Jom Shopping Aidilfitri DUN Kajang dan beberapa penduduk MPP zon 9 yang datang ke pejabat Ahli Majlis.

Agihan Bubur Lambuk MPP Zon 9

Sempena bulan Ramadan, antara juadah yang dinantikan adalah bubur lambuk. Ahli Majlis tela menempah sejumlah 1000 bekas bubur lambuk dari AJS Idaman Enterprise bagi diedarkan kepada jemaah di Masjid Taman Rakan, Surau An-Nur, Surau Al-Falah dan Surau Nurul Iman. Selamat menjalani ibadah puasa kepada semua penduduk MPP Zon 9.

Gotong-royong Cegah Denggi Dan Ramadan Spring Cleaning Taman Desa Baru

Sempena bulan Ramdan yang bakal menjelang, penduduk di Jalan Desa Baru 6 & 7, Taman Desa Baru mengambil kesempatan ini bagi menganjurkan gotong-royong bagi membersihkan kawasan luar dan dalam rumah masing-masing pada 13 Mac 2022. Penduduk mengeluarkan barangan yang tidak diperlukan di dalam rumah dan membersihkan kawasan yang berpotensi menjadi tempat pembiakan jentik-jentik. Pihak ahli majlis turut menjumpai bekas takungan air yang mempunyai jentik-jentik serta beberapa bekas yang berpotensi menjadi tempat pembiakan. Semua bekas tersebut dilupuskan untuk mengelakkan kejadian sama berulang. Semua penduduk memberikan kerjasama yang amat baik antara satu sama lain.

Bengkel Masakan Berasaskan Soya

Ahli Majlis Zon 9 dengan kerjasama dari MS Food Product & Consultancy Sdn Bhd telah mengadakan satu program jana pendapatan iaitu Bengkal Masakan Berasaskan Soya. Puan Meriam binti Ishak dari MS Food Product & Consultancy Sdn Bhd telah dijemput untuk memberikan tunjuk ajar kepada 20 orang peserta. Bengkel ini dijalankan pada 27 Februari 2022 di Pondok KRT Taman Rakan. Puan Meriam yang berpengalaman selama 15 tahun dalam bidang masakan telah memberi resepi dan teknik untuk membuat air soya serta tau fu fah. Perserta bengkel ini dapat membawa pulang air soya serta tau fu fah yang segar. Peserta juga dapat menggunakan ilmu ini untuk menjana pendapatan sama ada sampingan atau sepenuh masa.

Gotong-royong Cegah Denggi Taman Kasih

Seperti wabak Covid-19, wabak demam denggi juga tidak boleh dipandang ringan. Persatuan Penduduk Kejiranan Taman Kasih yang amat menitik beratkan soal kebersihan dalam kawasan mereka telah menganjurkan satu program gotong-royong bagi mencegah wabak denggi pada 20 Februari 2022. Namun tidak dilupakan juga SOP yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Maka, penduduk di Taman Kasih telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi melaksanakan gotong-royong ini untuk mengekang kedua-dua wabak ini menjadi semakin buruk. Semasa gotong-royong dijalankan, pihak Ahli Majlis telah memeriksa kawasan luar dan lorong belakang di setiap rumah dan mendapati terdapat beberapa bekas yang mempunyai jentik-jentik serta beberapa tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan. Kesemua bekas tersebut telah dilupuskan bagi mengelakkan kejadian berulang.

Sambutan Tahun Baru Cina MPP Zon 9 2022

Setiap bangsa yang berada di Malaysia akan meyambut tahun baru mengikut kalendar masing-masing. Begitu juga dengan kaum cina yang menyambut Tahun Baru Cina pada tahun 2022 yang jatuh pada 1 dan 2 Februari 2022. Ahli Majlis Zon 9 mengambil inisiatif untuk meraikan bersama penduduk berbangsa cina dengan memberikan buah limau sebagai tanda bertuah kepada Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs, JMB Flat Cheras Mewah, JMB Apartment Cheras Mewah, wakil dari Taman Kurnia Indah, Persatuan Penduduk Taman Desa Baru 2, KRT Taman Rakan, JMB Flat Taman Rakan, Persatuan Penduduk Taman Suria, Persatuan Penduduk Taman Cheras IDaman 1 dan 2 serta Persatuan Penduduk SL 13. Ahli Majlis telah memberikan 5-10 kotak kepada setiap persatuan dan wakil mengikut kapsiti kawasan. Selamat menyambut Tahun Baru Cina kepada semua penduduk di MPP Zon 9.

Sunathon MPP Zon 9

Aktiviti bersunat atau berkhatan amat sinonim dilakukan semasa cuti sekolah. Tidak ketinggalan Ahli Majlis Zon 9 juga ingin meraikan kanak-kanak lelaki yang akan meningkat dewasa dengan menganjurkan Sunathon MPP Zon 9 pada 24 Disember 2021 bertempat di Masjid Taman Rakan. Seramai 30 orang kana-kanak telah menyertai program ini. Acara bermula dengan bacaan doa selamat oleh Ustaz Fazul, Imam Masjid Taman Rakan kemudian peserta dibawa berarak mengelilingi Flat Taman Rakan diiringi dengan bacaan selawat ke atas Nabi. Seterusnya peserta dan ibu bapa disajikan dengan persembahan silat dari Persatuan Silat Betara Alam dan kemudian acara mandi beramai-ramai di kawasan lapang Flat Taman Rakan dengan bantuan dari jentera bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Kajang. Akhir sekali semua peserta dibawa ke Masjid Taman Rakan untuk proses berkhatan yang dilakukan oleh pakar perubatan dari Klinik Anda, Balakong. Tiada insiden yang tidak diingini berlaku dan semua peserta serta ibu bapa telah dipastikan tahap kesihatan mereka iaitu tidak mengalami demam, batuk dan dan selsema.

Kejohanan Liga Futsal MPP Zon 9 2021

Selepas Majlis Keselamatan Negara memberi kelonggaran SOP kepada sektor sukan, Ahli Majlis Zon 9 bercadang utuk membuat program dalam kategori sukan kepada penduduk MPP Zon 9. Kejohanan Liga Futsal MPP Zon 9 telah diadakan pada 11 Disember 2021 bertempat di Sg. Long Sport Centre bermula jam 3.00 petang hingga 9.00 malam. Sebanyak 20 pasukan futsal telah berdaftar dengan urusetia kejohanan yang dilangsungkan secara liga 2 kumpulan. Kejonanan telah berlangsung dengan lancar tanpa sebarang insiden atau kecederaan. Juara kejohanan telah dimenangi oleh Asta FC, diikuti dengan Street Soccer FC di tempat kedua dan Zon 20 ditempat ketiga.

Bengkel Urus Duit Saya

Ahli Majlis Zon 9 dengan kerjasama MyCEO Education Sdn Bhd telah menganjurkan satu program khas untuk kanak-kanak berumur 7-12 tahun yang berkonsepkan kewangan iaitu Bengkel Urus Duit Saya pada 4 Disember 2021 bertempat di Balai Raya Taman Koperasi Cuepacs. Seramai 30 orang peserta yang telah dipastikan tahap kesihatan yang memuaskan di mana peserta tidak mengalami demam, batuk dan selsema telah menyertai program ini. Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk melahirkan generasi baru yang celik ekonomi dan berwawasan tinggi selain dapat memupuk tabiat menguruskan kewangan dengan betul dari usia muda. Bengkel ini juga mengajar peserta tentang erti “survival” yang sebenarnya untuk hidup di dalam dunia sebenar yang semakin kompetetif dan mencabar dari sudut penjanaan dan menguruskan ekonomi. Dalam bengkel ini, peserta diberi pendedahan mengenai maksud wang, cara menjana wang sendiri serta teknik menyimpan wang dengan betul. Pihak MyCEO Education Sdn. Bhd. yang hadir seramai 3 orang turut memberi kit menguruskan wang kepada semua peserta. Bengkel yang bermula dari jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta untuk bijak menguruskan wang bermula dari sekarang.

Gotong-royong Cegah Denggi Sepanjang Tahun 2021

Selain wabak Covid-19, wabak demam denggi di Kajang juga menjadi perhatian kerana terdapat beberapa kes yang melibatkan kematian dan beratus-ratus kes demam dengi telah direkodkan. Ini bermaksud wabak demam denggi juga tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat. Penduduk di bawah MPP zon 9 amat menitik berat soal kesihatan salah satunya wabak demam yang boleh membawa maut ini. Oleh itu, beberapa gotong-royong telah dilaksanakan sepanjang tahun 2021 bagi membendung wabak ini selain dapat mengeratkan hubungan sesama penduduk, Ahli Majlis juga dapat beramah mesra dan mengambil maklum akan permasalahan penduduk di sesebuah kawasan yang telah menjalankan gotong-royong. Bersama kita mencegah tempat pembiakan nyamuk aedes dan Corona Virus.