Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 3

Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 3 diteruskan lagi kali ini pada 7 Oktober 2023, Sabtu oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed bertempat di Perkarangan Dewan Blok B,Flat Taman Kota Cheras. Program ini berlangsung bermula pada jam 8.30 pagi sehingga 12.00 tengahari.

Program ini diadakan untuk Siri 3 setelah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Zon 2 bagi Siri 1 dan Siri 2 yang telah berlangsung sebelum ini pada bulan Februari dan Mac 2023. Program yang mendapat kerjasama dengan NGO iaitu Community Recycle for Charity (CRC) yang bertindak menjalankan kutipan barangan kitar semula demi kebajikan (charity).

Bagi menarik minat para penduduk di zon ini untuk melakukan kitar semula,Encik Farhan mengambil insiatif untuk memberikan ‘token barangan’ sebagai pertukaran barangan kitar semula yang dihantar oleh penduduk ke tempat program. Token barangan asas ini diberikan mengikut berat yang telah ditimbang apabila setiap kali mereka menghantar barangan sepanjang program ini berlangsung. Pelbagai barangan asas seperti beras,gula,garam,bihun dan sebagainya diberikan sebagai ‘token barangan’.

Menariknya,semasa program selingan diadakan iaitu Pertandingan Mewarna bagi Kanak-Kanak Bawah 6 Tahun dan 12 Tahun,kebanyakan nenek-nenek kepada kanak-kanak ini turut ingin menyertai pertandingan mewarna tersebut. Oleh itu,selaku penganjur pihak Ahli Majlis telah membuka satu lagi kategori iaitu Kategori Warga Emas Perempuan. Suasana semasa pertandingan ini sangat meriah kerana warga emas ini bersungguh-sungguh untuk mewarnakan poster pertandingan tersebut bersama cucu mereka. Pelbagai gelagat dan ragam dapat dilihat semasa pertandingan ini berlangsung.

Program yang tamat pada jam 12.00 tengahari ini berjaya mengumpul berat barangan kitar semula sebanyak 450 kilogram dan berat tersebut melebihi berat yang dikumpul daripada penganjuran program kedua-dua siri sebelum ini.

Konklusinya,program ini telah mencapai objektif penganjurannya. Rata-rata penduduk yang hadir menghantar barangan kitar semula ini berharap program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang memandangkan mereka ini sangat gembira apabila segala penat lelah untuk mengumpul barangan kitar semula tersebut terbalas dengan penerimaan ‘token barangan’ yang disediakan oleh pihak penganjur.