Program Jualan Agro MADANI Siri 1

Program Jualan Agro MADANI Siri 1 telah diadakan pada 16 Julai 2023 dengan kerjasama Pejabat FAMA Daerah Hulu Langat dan Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed bertempat di Kawasan Lapang Taman Cheras Awana,Jalan Awana 14,Batu 9 Cheras.

Program yang bermula pada jam 7.00 pagi ini diadakan bertujuan untuk memberi peluang kepada para penduduk di kawasan ini khususnya golongan B40 untuk mendapatkan barangan dapur dengan harga terendah tetapi kualiti produk adalah terjamin segar dan kualiti yang terbaik.

Menariknya,dalam program ini telah ditawarkan potongan harga untuk 100 pengunjung terawal untuk mendapatkan Kombo MADANI iaitu kombo barangan basah yang terdiri daripada satu ekor ayam dan 3 jenis sayur. Harga kombo ini pada asalnya berharga RM25.00, tetapi khas untuk pengunjung terawal ini,mereka boleh membeli kombo ini dengan harga RM15.00 sahaja.

Rata-rata yang hadir telah mulai beratur pada awal pagi sebelum program ini bermula bagi mendapatkan tawaran istimewa tersebut. Setelah tinjauan dibuat,para penduduk di sini berharap program ini dapat diadakan dengan lebih kerap memandangkan kerajaan MADANI sekarang ini berikrar untuk menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam memastikan nasib golongan yang memerlukan sentiasa terjaga dalam menghadapi cabaran kos sara hidup yang tinggi.