Sambutan Hari Raya Aidilfitri

Pada 4 Mei 2024, siri kedua program sambutan Hari Raya Aidilfitri telah diadakan dengan penuh keceriaan di Taman Sri Nanding Hulu Langat. Program yang bermula pada jam 2.00 petang hingga jam 4.00 petang itu turut dihadiri oleh YDH Dato’ Haji Rosli bin Othman, yang beramah mesra dengan penduduk yang hadir. Turut hadir dalam majlis ini adalah YB Mohd Sany Hamzan, Ahli Parlimen Hulu Langat. Anggaran penyertaan adalah sebanyak 1000 orang.

YDH Dato’ turut sudi menyampaikan sumbangan duit raya kepada kanak-kanak yang hadir, menambahkan lagi kegembiraan mereka dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri. Kesudian dan perhatian daripada pemimpin tempatan ini memberi kesan positif kepada penduduk taman.

Jamuan Hari Raya untuk siri kedua turut diadakan di beberapa lokasi berbeza pada sebelah malam bagi memudahkan penduduk sekitar. Antaranya di Taman Desa Pelangi, Taman Desa Raya, Taman Casa Lagenda, Taman Wawasan A, dan Taman Perkasa Fasa 2 yang bermula pada jam 8 malam dan dihadiri oleh en Afrodi bin Ali yang mewakili ahli majlis. Jamuan ini memberi peluang kepada penduduk untuk berkumpul, beramah mesra, dan berkongsi kegembiraan dalam suasana yang penuh berkat.

Program ini mencerminkan semangat perpaduan dan kebersamaan dalam meraikan Hari Raya Aidilfitri di kalangan penduduk Hulu Langat. Kehadiran pemimpin tempatan turut menambahkan lagi kehangatan dalam majlis tersebut, serta menunjukkan komitmen mereka dalam memperkukuhkan hubungan antara pemimpin dan rakyat.