Sempena sambutan Hari Deepavali dalam keadaan negara sedang berjuang menghadapi pandemik wabak Covid-19, kemeriahan untuk menyambut perayaan tetap juga terasa walaupun tidak dapat berkunjung antara satu sama lain. Pada musim pandemik ini, Ahli Majlis memeriahkan sambutan ini dengan membuat kelas masakan secara dalam talian iaitu membuat resepi maruku bersama tenaga pengajar Puan Vasantarai A/P Apparoo. Beliau menggunakan resepi tradisi turun-temurun dari keluarga dan berkongsi dengan semua perserta dan sempat membungkuskan maruku yang baru dimasak kepada Ahli Majlis. Selamat menyambut Hari Deepavali kepada semua penduduk MPP zon 9.
Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-64 Peringkat MPP Zon 9
Pada bulan Ogos 2021, Malaysia masih lagi terikat dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Oleh itu, sebarang perarakan atau sambutan secara besar-besaran adalah dilarang sama sekali. Namun, itu tidak melemahkan semangat kemerdekaan dalam kalangan penduduk di MPP Zon 9 untuk menyambutnya. Pada tahun ini, Ahli Majlis telah menyumbang sejumlah bendera dengan saiz 2′ x 4′ serta 3′ x 6′ untuk diberikan kepada wakil penduduk untuk diganyung di kawasan masing-masing. Antara penerimanya adalah KRT Taman Rakan, Flat Taman Rakan, Persatuan Penduduk Taman Cheras Idaman 2, wakil penduduk Taman Kurnia, Persatuan Penduduk Taman Desa Baru 1, Persatuan Penduduk Jalan Desa Baru 6&7, Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs, JMB Flat Cheras Mewah., JMB Apartment Cheras Mewah, Persatuan Penduduk Kejiranan Taman Kasih dan JMB Flat Sri Kasih. Masing-masing menerima 40 – 80 helai bendera mengikut saiz kawasan perumahan. Sepanjang penyerahan bendera ini, semua penerima telah mengikut SOP yang ditetapkan dengan menjaga jarak dan memakai pelitup muka. Selamat Hari Merdeka Yang Ke-65.
Program Prihatin Covid-19 Sepanjang Tahun 2021
Apabila Majlis Keselamatan Negara mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali-2 pada tahun 2021, ramai rakyat Malaysia yang masih terkesan dengan PKP kali-1 mengeluh kerana sumber pendapatan mereka terjejas. Ahli Majlis mengambil inisitif untuk membantu golongan yang terjejas ini dengan memberikan sumbangan makanan asas kepada penduduk di bawah MPP Zon 9 yang memerlukan. Sumbangan dibuat secara berperingkat bermula 25 April 2021 hingga 28 Ogos 2022 dan diedarkan kepada hampir 300 penerima antaranya di Taman Rakan, Taman Koperasi Cuepacs dan Taman Kasih. Antara barangan asas yang diberikan adalah beras, minyak masak, sardin, gula, kopi, mee hun, pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan beberapa barangan lain. Semoga penduduk di MPP Zon 9 dijauhi dengan wabak Covid-19 ini.
Perlawanan Bola Sepak Persahabatan Antara MPP Zon 9 Dan Jabatan Perkhidmatan Perbandaran Dan kesihatan, Majlis Perbandaran Kajang
Satu Perlawanan Bola Sepak Persahabatan antara Pasukan MPP Zon 9 dengan JPPK, MPKj telah berlangsung pada 23 Mac 2021 bertempat di Arena Jubli Perak, Bandar Baru Bangi. Perlawanan ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan baik antara staf JPPK, MPKj dengan Ahli Majlis Zon 9 yang baru dilantik selain untuk memantapkan lagi skil dan stamina pemain. MPP Zon 9 telah memenangi perlawanan ini dengan jaringan 6-1. Kesemua pemain dan urusetia telah mematuhi SOP dalam sektor sukan se[erti yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara.
Program Prihatin Covid-19 Sepanjang Tahun 2020
Semasa musim pandemik Covid 19 yang telah menyebabkan ekonomi sesetengah keluarga terjejas, Ahli Majlis Zon 9 telah mengambil inisiatif membantu meringan beban keluarga yang memerlukan bantuan. Antara bantuan yang diberikan adalah edaran barangan makanan kering harian seperti beras, minyak, mee hun, gula, biskut, sardin dan beberapa barangan lain lagi. Edaran bantuan ini telah diagihkan ke beberapa kawasan di bawah MPP Zon 9 secara berperingkan sebanyak 5 kali bermula pada 26 Mac 2020 hingga 11 November 2020. Semoga wabak Covid 19 ini dapat diputuskan agar rakyat Malaysia dapat hidup seperti sedia kala.
Sambutan Hari Kemerdekaan Yang Ke-63 Peringkat MPP zon 9
Tanggal 31 Ogos 2020 adalah Hari Kebangsaan Malaysia Yang Ke-63. MPP Zon 9 tidak ketinggalan untuk menyambutnya pada tahun ini dengan menganjurkan Konvoi Merdeka Yang Ke-63 dengan kerjasama KRT Taman Rakan pada 31 Ogos 2020. Sebanyak 60 buah motosikal pelbagai kuasa dengan 100 orang penunggang dan pembonceng dari pelbagai peringkat umur dan bangsa telah bersama-sama membawa Jalur Gemilang dengan motosikal sejauh 5 km bermula dari Petronas Taman Rakan mengelilingi sekitar Taman Rakan, Taman Bukit Suria dan Taman Suria dan berakhir di pondok KRT Taman Rakan. Seramai 3 orang anggota polis trafik turut sama membantu bagi melancarkan lagi konvoi ini. Selamat Menyambut Hari Kebangsaan Yang Ke-63 kepada semua penduduk MPP Zon 9.
Local Agenda 21 – Jahitan Beg Kitar Semula
7 Mac 2020, Sabtu
Satu Program LA21 iaitu Kelas Menjahit Beg Kitar Semula telah diadakan pada 7 Mac 2020 bermula jam 8.00 pagi hingga 12.30 tengah hari bertempat di Bilik Seminar, Dewan Sri Cempaka. Program ini dianjurkan oleh Jabatan Perancang Pembangunan MPKj dan disertai oleh MPP Zon 9 dan MPP Zon 10. MPP Zon 9 telah membawa seramai 15 orang peserta. Program ini bertujuan untuk mempelajari teknik asas jahitan menjahit beg menggunakan banner terpakai.
Program Kesedaran Kebersihan Dalam Taman
29 Februari 2020, Sabtu
Satu Program Kesedaran Kebersihan Dalam Taman anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Rakan telah diadakan di Pusat Aktiviti KRT Taman Rakan pada 29 Februari 2020 bermula 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Program ini bertujuan untuk memberikan kesedaran kebersihan yang perlu dijaga oleh penduduk bukan sahaja di dalam kawasan rumah malah di kawasan luar rumah juga. Dengan ini dapat mewujudkan budaya serta kesedaran sivik yang perlu diberi penerangan kepada penduduk. Antara pengisian semasa program ini adalah menerangkan peranan masyarakat tentang kebersihan, keburukan berlaku kepada taman, tindakan pihak berwajib serta pameran mengenai penyakit denggi. Penganjur telah menjemput Penolong Pegawai Kebersihan Dan Persekitaran, Encik Muhammad Qamarun bin Salim dari Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam, MPKj untuk memberikan penerangan.
Edaran Limau Sempena Sambutan Tahun Baru Cina MPP Zon 9 2020
22 Februari 2020, Sabtu
Satu Majlis Sambutan Tahun Baru Cina 2020 peringkat MPP Zon 9 telah diadakan di Pusat Aktiviti Kawasan rukun tetangga (KRT) Taman Rakan pada 22 Februari 2020 bermula 11.00 pagi hingga 1.00 tengah hari.
Sambutan dimulai dengan ucapan dari ADUN Kajang, YB Hee Loy Sian kemudian penduduk dipersembahkan dengan tarian tradisi semasa sambutan Tahun Baru Cina iaitu tarian singa. Sambutan ini juga dihadiri oleh Ahli Majlis Zon 3, Cik Lim Kim Eng.
Sambutan Hari Kemerdekaan 2019
31 Ogos 2019, Sabtu
Satu Sambutan Hari Kemerdekaan 2019 yang ke 62 anjuran Rukun Tetangga Taman Koperasi Cuepacs dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Koperasi Cuepacs dan Ahli Majlis Zon 9 telah diadakan pada 31 Ogos 2019 bertempat Padang Taman Koperasi Cuepacs. Program ini bermula pada jam 8.00 pagi dan berakhir pada jam 12.00 tengah hari. Seramai lebih kurang 150 orang penduduk Taman Koperasi Cuepacs, Taman Rakan, Taman Desa Baru, Taman Mewah Cheras dan Taman Lingkaran Nur hadir untuk memeriahkan program ini.
Antara yang hadir untuk memeriahkan sambutan ini adalah Encik Shamsir bin Mat Dhaud, wakil dari Jabatan Perpaduan Negara Dan Integriti Nasional, Wakil dari Pejabat Tanah Dan Daerah Hulu Langat, Wakil dari IPD Kajang, Ahli Majlis Zon 9 dan Pengerusi-pengerusi Taman-taman sekitar.
Program ini bermatlamat untuk mengeratkan hubungan penduduk berbilang kaum dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan penduduk. Selain daripada itu, sambutan ini juga memupuk semangat patriotisme dalam kalangan remaja khasnya.