Program Taklimat Kesedaran Polis dan Masyarakat Dalam Mencegah Jenayah Dan Kesejahteraan Komuniti, Taman Sri Kenari

Pada 13 Ogos 2022 jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari, Persatuan Penduduk Taman Sri Kenari (PPTSK) dan KRT Sungai Ramal Luar , telah menganjurkan Program Taklimat Kesedaran Keselamatan Polis Dan Masyarakat Dalam Pencegahan Jenayah di Pusat Aktiviti Rukun Tetangga Sungai Ramal. Program ini telah dirasmikan oleh YDH Tuan Azhari bin Miskon, Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Dan Kesejahteraan Komuniti, Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang. Turut hadir ialah Puan Nur Hidayah binti Mohamad Nadzif, Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Langat, Encik Taip bin Haji Kairi, Ketua Kampung Sungai Ramal Luar dan Tuan Kapt. Kosno bin Slamat (Bersara), Pengerusi JPKKKP Sungai Ramal Luar. Program telah dihadiri seramai 60 orang penduduk.

Program ini bertujuan untuk menjalinkan hubungan kerjasama antara penduduk dan pihak Polis Kajang dalam bidang pencegahan jenayah. Bagi tujuan tersebut, mereka telah ditaklimatkan mengenai trend semasa pencegahan jenayah dan ancaman jenayah scam. Semasa majlis perasmian, satu acara khas penyerahan jaket Skim Rondaan Sukarela (SRS) kepada wakil Ketua Pasukan SRS KRT Sungai Ramal Luar telah disempurnakan oleh Puan Nur Hidayah. Penyerahan tersebut bermakna pemulihan aktiviti SRS KRT Sungai Ramal Luar. Aktiviti SRS akan bermula selepas urusan pendaftaran ahli SRS mendapat kelulusan Pejabat Perpaduan Daerah Hulu Langat.

Kejayaan pelaksanaan program ini telah menonjolkan peranan dominan PPTSK dan KRT Sungai Ramal Luar sebagai peneraju aktiviti keselamatan membantu pucuk pimpinan kampung menggerakkan penduduk bekerjasama dengan pihak polis dalam pencegahan jenayah melalui aktiviti SRS di Sungai Ramal Luar.