Bengkel Urus Duit Saya

Ahli Majlis Zon 9 dengan kerjasama MyCEO Education Sdn Bhd telah menganjurkan satu program khas untuk kanak-kanak berumur 7-12 tahun yang berkonsepkan kewangan iaitu Bengkel Urus Duit Saya pada 4 Disember 2021 bertempat di Balai Raya Taman Koperasi Cuepacs. Seramai 30 orang peserta yang telah dipastikan tahap kesihatan yang memuaskan di mana peserta tidak mengalami demam, batuk dan selsema telah menyertai program ini. Objektif bengkel ini diadakan adalah untuk melahirkan generasi baru yang celik ekonomi dan berwawasan tinggi selain dapat memupuk tabiat menguruskan kewangan dengan betul dari usia muda. Bengkel ini juga mengajar peserta tentang erti “survival” yang sebenarnya untuk hidup di dalam dunia sebenar yang semakin kompetetif dan mencabar dari sudut penjanaan dan menguruskan ekonomi. Dalam bengkel ini, peserta diberi pendedahan mengenai maksud wang, cara menjana wang sendiri serta teknik menyimpan wang dengan betul. Pihak MyCEO Education Sdn. Bhd. yang hadir seramai 3 orang turut memberi kit menguruskan wang kepada semua peserta. Bengkel yang bermula dari jam 10.00 pagi dan berakhir pada jam 4.00 petang diharap dapat memberi manfaat kepada semua peserta untuk bijak menguruskan wang bermula dari sekarang.