Gotong-royong Cegah Denggi Taman Kasih

Seperti wabak Covid-19, wabak demam denggi juga tidak boleh dipandang ringan. Persatuan Penduduk Kejiranan Taman Kasih yang amat menitik beratkan soal kebersihan dalam kawasan mereka telah menganjurkan satu program gotong-royong bagi mencegah wabak denggi pada 20 Februari 2022. Namun tidak dilupakan juga SOP yang perlu dipatuhi bagi mengekang penularan wabak Covid-19. Maka, penduduk di Taman Kasih telah mematuhi SOP yang telah ditetapkan bagi melaksanakan gotong-royong ini untuk mengekang kedua-dua wabak ini menjadi semakin buruk. Semasa gotong-royong dijalankan, pihak Ahli Majlis telah memeriksa kawasan luar dan lorong belakang di setiap rumah dan mendapati terdapat beberapa bekas yang mempunyai jentik-jentik serta beberapa tempat yang berpotensi menjadi tempat pembiakan. Kesemua bekas tersebut telah dilupuskan bagi mengelakkan kejadian berulang.