Program Sambutan Hari Raya dan Gotong Royong Taman Kota Cheras Fasa 2

Sempena dengan kedatangan Bulan Syawal,satu program berbentuk sambutan raya dan program gotong royong telah diadakan. Program unik yang dinamakan Program Sambutan Hari Raya dan Gotong Royong Taman Kota Cheras Fasa 2 initelah diadakan pada 6 Mei 2023 oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Kota Cheras Fasa 2.

Program ini diadakan bertempat di Padang Permainan Taman Kota Cheras Fasa 2 bermula pada jam 8.30 pagi. Turut hadir dalam program ini adalah Ahli Parlimen Hulu Langat,YB Mohd Sany bin Hamzan,Adun Dusun Tua,YB Edry Faizal bin Eddy Yusof bersama-sama wakil daripada Balai Bomba Bandar Tun Hussien Onn dan juga Balai Polis Batu 9 Cheras.

Usai ucapan daripada YB Sany dan YB Edry dan juga Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kota Cheras Fasa 2, Haji Aminuddin bin Ibrahim,program ini diteruskan dengan jamuan raya terlebih dahulu sebelum aktiviti gotong-royong dijalankan.

Sementara para penduduk dan tetamu yang hadir menjamu selera,turut diadakan demonstrasi pemadaman api oleh Balai Bomba Bandar Tun Hussien Onn.

Kemudian,setelah selesai menjamu selera dengan juadah raya,program ini diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu bergotong-royong mengutip sampah. Keutamaan tempat gotong-royong adalah di belakang Surau At-Taqwa Taman Kota Cheras Fasa 2 ini kerana tempat ini selalu menjadi tempat pembuangan sampah dan turut menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.

Para penduduk bersepakat untuk menjadikan program seumpama ini sebagai program tradisi tahunan. Program ini tamat pada jam 12.00 tengahari.

Program Hebahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 MPP Zon 2

Program Hebahan Sambutan Hari Raya Aidilfitri 2023 MPP Zon 2 merupakan program hebahan berbentuk ucapan selamat hari raya melalui pemasangan banner daripada Ahli Majlis Zon 2 Majlis Perbandaran Kajang(MPKj),Encik Farhan Haziq bin Mohamed kepada penduduk Zon 2.

Hebahan tersebut telah dipasang di beberapa tempat di dalam Zon 2 iaitu di Taman Suntex,Taman Segar Perdana,Taman Orkid,Taman Alam Jaya dan Persiaran Cheras Awana.

Program Santuni Ramadhan Anggota Beruniform – Balai Polis Batu 9

Bagi meraikan pengorbanan anggota beruniform di dalam kawasan Zon 2 ini,satuProgram Santuni Ramadhan Anggota Beruniform – Balai Polis Batu 9 telah diadakan Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed pada 10 April 2023.

Program yang diadakan secara tahunan ini adalah bertujuan untuk menghargai jasa dan pengorbanan anggota polis Balai Polis Batu 9 yang menjaga keamanan di dalam kawasan Zon 2 ini khususnya. selain itu,dengan kedatangan bulan Syawal tidak lama lagi,anggota polis ini akan lebih kerap meronda kawasan bagi memastikan keselamatan diri,harta benda di rumah selamat apabila para penduduk pulang ke kampung halaman masing-masing bagi meraikan Hari Raya Aidilfitri.

 Oleh itu,Encik Farhan Haziq berasa terpanggil untuk memberikan makanan berbuka puasa kepada anggota-anggota Balai Polis Batu 9 ini. Selain itu,program ini turut dilihat sebagai peluang untuk beramah mesra dengan Ketua Balai Polis Batu 9 yang baru iaitu OCS Tuan Mohd Raqib bin Abdul Bakar.Turut hadir dalam program ini adalah Pengerusi MPKK Kg. Sg Raya,Haji Norlisman bin Abu.

Program Imarah Ramadhan Berbuka Puasa bersama Komuniti

Sempena kedatangan bulan penuh rahmah dan berkat ini,Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed telah mengadakan satu program iaitu Program Imarah Ramadhan Berbuka Puasa bersama Komuniti bertempat di Surau Al-Mutaqin Taman Alam Jaya. Program ini telah diadakan pada 10 April 2023 bermula jam 7.00 malam.

Program telah dihadiri oleh penduduk tempatan dan warga asing yang tinggal berdekatan dengan surau ini. Tujuan program ini diadakan bagi meraikan kedatangan bulan Ramadan yang sangat menggalakkan untuk umat Islam bersedekah dalam pelbagai bentuk di samping juga untuk bertemu dengan komuniti setempat.

Pengisian program ini bermula dengan ucapan dan sesi beramah mesra dengan Encik Farhan Haziq sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa. Usai berbuka puasa, mereka ini turut bersama-sama komuniti yang hadir menunaikan solat Maghrib,Isyak dan Terawih bersama. Program ini tamat kira-kira jam 10.30 malam.

Program Memasak & Agihan Bubur Lambuk Rahmah MPP Zon 2 MPKj

Program Memasak & Agihan Bubur Lambuk Rahmah MPP Zon 2 MPKj telah diadakan pada 1 April 2023 bertempat di perkarangan Dewan Blok B,Flat Taman Kota Cheras. Program ini telah dianjurkan bersama KRT Taman Kota Cheras Fasa 1 dan JMB Flat Taman Kota Cheras.

Program yang bermula pada jam 8.00 pagi ini dimulai dengan para penduduk bergotong-royong menyediakan barang-barang keperluan yang akan digunakan bagi memasak bubur lambuk ini.

Program memasak ini telah berlangsung selama hampir 2 jam. Kemudian,setelah siap sesi memasak,sesi membungkus bubur lambuk pula berlangsung. Ahli Majlis Zon 2 Majlis Perbandaran Kajang(MPKj),Encik Farhan Haziq bin Mohamed turut serta menggembleng tenaga bersama penduduk yang hadir menyiapkan bungkusan bubur lambuk tersebut.  Bubur lambuk ini telah diagihkan kepada kira-kira 1000 orang yang terdiri daripada surau,masjid dan penduduk yang tinggal berdekatan.

Program ini dilihat sebagai satu program tahunan yang wajib diadakan dalam masyarakat Melayu yang beragama Islam bagi menyemarakkan lagi semangat Ramadhan.

Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 2

Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 2 diteruskan lagi kali ini pada 4 Mac 2023, Sabtu oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed bertempat di Kawasan Lapang Taman Cheras Awana,Persiaran Awana,Taman Cheras Awana. Program ini berlangsung bermula pada jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari.

Program ini diadakan untuk Siri 2 setelah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penduduk Zon 2 bagi Siri 1 yang telah berlangsung sebelum ini pada 25 Februari 2023. Program yang mendapat kerjasama dengan NGO iaitu Community Recycle for Charity (CRC) yang bertindak menjalankan kutipan barangan kitar semula demi kebajikan (charity).

Bagi menarik minat para penduduk di zon ini untuk melakukan kitar semula,Encik Farhan mengambil insiatif untuk memberikan ‘token barangan’ sebagai pertukaran barangan kitar semula yang dihantar oleh penduduk ke tempat program. Token barangan asas ini diberikan mengikut berat yang telah ditimbang apabila setiap kali mereka menghantar barangan sepanjang program ini berlangsung. Pendek kata,lagi berat timbangan,lagi lumayan token barangan yang akan diberikan.

Selain itu,pengisian lain dalam program ini adalah pertandingan mewarna bagi kanak-kanak bawah 6 tahun dan 12 tahun. Kebanyakan ibu bapa turut sama membantu anak-anak mereka untuk mewarna. Sekaligus,program ini dilihat dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan antara sesama mereka.

Konklusinya,program ini telah mencapai objektif penganjurannya. Diharapkan program seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang setelah menerima pelbagai maklumbalas yang baik daripada penduduk khususnya Zon 2 ini.

Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 1

Program Kitar Semula ‘Drive-Thru’ MPP Zon 2 bersama Community Recycle for Charity (CRC) Siri 1 telah diadakan pada 25 Februari 2023, Sabtu oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed bertempat di Padang Taman Alam Jaya. Program ini berlangsung bermula jam 9.00 pagi sehingga 12.00 tengahari.

Tujuan program ini diadakan adalah bertujuan untuk mendidik sikap kitar semula barang dalam kalangan penduduk khususnya Zon 2. Selain itu,tujuan diadakan program ini adalah bagi membantu pihak Community Recycle for Charity (CRC)  yang melaksanakan kitar semula demi kebajikan (charity).

Bagi menarik minat para penduduk di zon ini untuk melakukan kitar semula,Encik Farhan mengambil insiatif untuk memberikan ‘token barangan’ sebagai pertukaran barangan kitar semula yang dihantar oleh penduduk ke tempat program. Token barangan asas ini diberikan mengikut berat yang telah ditimbang apabila setiap kali mereka menghantar barangan sepanjang program ini berlangsung. Pendek kata,lagi berat timbangan,lagi lumayan token barangan yang akan diberikan.

Selain itu,pengisian lain dalam program ini adalah pembukaan kaunter bergerak bayaran cukai oleh Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) dan juga pertandingan mewarna bagi kanak-kanak bawah 6 tahun dan 12 tahun. Pertandingan mewarna ini diadakan bagi menarik minat kanak-kanak sempena cuti sekolah ini dan juga untuk mendedahkan mereka dengan info berkaitan kitar semula.

Konklusinya,program ini dilihat dapat mewujudkan masyarakat yang prihatin akan alam sekitar,saling bekerjasama dan harmoni lalu menjadikan Zon 2 sebagai zon bebas sampah pada satu hari nanti.

Program Memasak & Jualan Kuih Bakul Kg Baru Batu 9 2023

Pada 13 Februari 2023, Sabtu, Program Memasak & Jualan Kuih Bakul Kg Baru Batu 9 2023 telah diadakan bertempat di perkarangan tempat letak kereta Pasar Suntex. Program yang bermula pada jam 7.00 pagi ini adalah satu program kerjasama dengan pelbagai pihak. Antaranya adalah MPKK Kg Baru Batu 9, NGO MySustaZen Cheras Youth dan juga Kelab Belia Aktif Kalumpang.

Menariknya,Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) turut serta dalam program ini dengan membuka kaunter bergerak bayaran cukai kepada penduduk di dalam Zon 2 ini. Di samping itu,terdapat juga permainan untuk kanak-kanak yang hadir.

Antara pengisian program ini adalah,Encik Farhan Haziq bin Mohamed,Ahli Majlis Zon 2 MPKj turut mengedarkan kuih bakul buloh kepada para pengunjung yang bertuah. Kuih bakul atau nama lainnya ‘Nian Gao’ ini telah disediakan oleh Kelab Belia Aktif Kalumpang dengan kerjasama Ilmio Café yang dibawa khas dari Kuala Kubu Baru,Selangor.

Selain itu,turut diadakan demo memasak kuih bakul secara mudah oleh Miss Chin Wen Yen. Turut serta dalam demo ini adalah YB Edry Faizal bin Eddy Yusof,Adun Dusun Tua yang turut hadir memberikan sokongan dalam program ini. Selain itu juga,terdapat juga ‘wishing trees’ iaitu para pengunjung boleh menulis kata-kata yang baik atau harapan,lalu menggantungkan pada dahan pokok sebagai simbolik.

Intihanya,program ini dapat menarik minat kaum lain selain dari kaum Cina sepanjang program ini berlangsung dan ia sekaligus memberikan peluang untuk mengenali budaya masyarakat Cina yang penuh dengan tradisi.

Program Line Dance MPP Zon 2 : Januari – Disember 2023

Program Line Dance MPP Zon 2 telah dianjurkan oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed bertempat di Dewan Pusat Komuniti Suntex untuk sepanjang tahun bermula dari Januari hingga Disember 2023.

Program yang diadakan pada setiap hari Selasa dan Jumaat ini adalah bertujuan untuk memupuk amalan hidup sihat di kalangan komuniti dengan sentiasa melakukan riadah. Line Dance ini amat popular dalam kalangan masyarakat Cina. Oleh itu,kaum wanita Cina khususnya, sangat berbesar hati apabila program seumpama ini diadakan di dalam Zon 2 ini.

Operasi Pembersihan Bersepadu 2.0 Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) & KDEB

Operasi Pembersihan Bersepadu 2.0 Majlis Perbandaran Kajang(MPKj) & KDEB telah diadakan pada 17/1/2023 bermula jam 8.00 pagi. Operasi ini melibatkan kawasan Bangunan Komersial Taman Alam Jaya yang terletak di bawah Zon 2 MPKj yang merupakan kawasan perindustrian utama dalam zon ini.

Antara jabatan-jabatan di dalam MPKj yang terlibat dalam operasi ini adalah Jabatan Kejuruteraan, Jabatan Perkhidmatan Perbandaran dan Kesihatan, Jabatan Penguatkuasaan serta Jabatan Pelesenan dan Penjaja dengan kerjasama KDEB Waste Management Sdn Bhd dengan penglibatan kira-kira anggota 100 orang.

Menurut Ahli Majlis Zon 2 MPKj,En Farhan Haziq bin Mohamed,tujuan operasi ini diadakan adalah untuk membersihkan longkang-longkang yang tersumbat dengan sampah sarap sehingga menyebabkan air tidak mengalir,mengambil tindakan terhadap pemilik premis yang suka meletakkan halangan di tempat parkir kenderaan,beroperasi secara haram dan tidak menjaga kebersihan premis perniagaan masing-masing.

Seiring dengan perkara tersebut,penglibatan jabatan-jabatan bawah MPKj ini membolehkan teguran dan tindakan dapat diambil kepada pemilik-pemilik premis yang melakukan kesalahan.  

Operasi ini adalah merupakan salah satu daripada usaha untuk menjadikan kawasan perindustrian di Taman Alam Jaya ini sebagai satu tempat yang bersih,selamat dan mesra pengguna.