Program Sambutan Hari Raya dan Gotong Royong Taman Kota Cheras Fasa 2

Sempena dengan kedatangan Bulan Syawal,satu program berbentuk sambutan raya dan program gotong royong telah diadakan. Program unik yang dinamakan Program Sambutan Hari Raya dan Gotong Royong Taman Kota Cheras Fasa 2 initelah diadakan pada 6 Mei 2023 oleh Ahli Majlis Zon 2 MPKj,Encik Farhan Haziq bin Mohamed dengan kerjasama Persatuan Penduduk Taman Kota Cheras Fasa 2.

Program ini diadakan bertempat di Padang Permainan Taman Kota Cheras Fasa 2 bermula pada jam 8.30 pagi. Turut hadir dalam program ini adalah Ahli Parlimen Hulu Langat,YB Mohd Sany bin Hamzan,Adun Dusun Tua,YB Edry Faizal bin Eddy Yusof bersama-sama wakil daripada Balai Bomba Bandar Tun Hussien Onn dan juga Balai Polis Batu 9 Cheras.

Usai ucapan daripada YB Sany dan YB Edry dan juga Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Kota Cheras Fasa 2, Haji Aminuddin bin Ibrahim,program ini diteruskan dengan jamuan raya terlebih dahulu sebelum aktiviti gotong-royong dijalankan.

Sementara para penduduk dan tetamu yang hadir menjamu selera,turut diadakan demonstrasi pemadaman api oleh Balai Bomba Bandar Tun Hussien Onn.

Kemudian,setelah selesai menjamu selera dengan juadah raya,program ini diteruskan dengan aktiviti kemuncak iaitu bergotong-royong mengutip sampah. Keutamaan tempat gotong-royong adalah di belakang Surau At-Taqwa Taman Kota Cheras Fasa 2 ini kerana tempat ini selalu menjadi tempat pembuangan sampah dan turut menjadi sarang binatang berbisa seperti ular.

Para penduduk bersepakat untuk menjadikan program seumpama ini sebagai program tradisi tahunan. Program ini tamat pada jam 12.00 tengahari.